Labels

Showing posts with label Info. Show all posts
Showing posts with label Info. Show all posts

Wednesday, 13 November 2013

Muzium Terengganu

Ditubuhkan pada tahun 1976 di bawah Enakmen Bil. 9 Tahun 1976. Penubuhan ini telah diluluskan oleh Dewan Undangan Negeri pada 28 Disember 1976 dan mula berkuatkuasa pada 1 November 1977.

Dari segi rentetan sejarahnya, hasrat dan cita-cita untuk menubuhkan Muzium Negeri ini tercetus sejak awal tahun 1920 an lagi natijah daripada peristiwa perjumpaan Batu Bersurat Terengganu di Kampung Buloh, Hulu Terengganu oleh Syed Hussein Ghulam Al Bukhari pada tahun 1902. Peristiwa penemuan Batu Bersurat yang bersejarah ini telah melahirkan rasa kegembiraan dan rasa kesyukuran seluruh rakyat Negeri Terengganu pada waktu itu. Namun, masalah timbul kerana ketiadaan tempat untuk menyimpan batu bersejarah ini. Keadaan ini telah mencabar dan menyedarkan pimpinan negeri itu betapa pentingnya negeri ini mempunyai Muzium sendiri.

Ekoran daripada itu, Al-Marhum Duli Yang Maha Mulia Sultan Sulaiman Badrul Alam Syah tiada pilihan selain memperkenankan Batu Bersurat itu dibawa ke Singapura untuk disimpan dan dipamerkan di Muzium Gambar Raffles pada tahun 1923. Menteri Besar Terengganu pada masa itu Dato’ Haji Ngah Mohd Bin Yusof telah bersetuju dengan surat jawapan daripada Penasihat British yang berbunyi :" Maka apakala diadakan Muzium di dalam Terengganu kelak ataupun tempat lain yang munasabah bolehlah kerajaan mengambil balik pula pada bila-bila masa yang dikehendaki adanya "

Berikutan itu, kesedaran serta semangat untuk menpunyai Muzium sendiri semakin memuncak. Pada tahun 1955, Y.A.B. Dato’ Menteri Besar, Dato’ Haji Kamaruddin Bin Haji Idris ( Menteri Besar Terengganu ketika itu ), telah menubuhkan satu jawatankuasa serta membayangkan hasrat untuk mewujudkan Muzium di Negeri Terengganu. Jawatankuasa ini telah dianggotai oleh Y.B.M. Engku Pengiran Anom, Haji Mohd Salleh Bin Haji Awang, Cikgu Muhamad Akil Bin Atan serta Haji Wan Endut Bin Othman. Peranan utama jawatankuasa ini ialah untuk mengumpul dan memperolehi barang-barang lama dan bersejarah. Namun begitu, perjalananan jawatankuasa ini terbantut kerana masalah kewangan dan peruntukan undang-undang.

Kesinambungan daripada itu, pada 14 januari 1960, Y.B. Dato’ Setiausaha Kerajaan Terengganu, Dato’ Andika Indera, Encik Ishak Bin Mohd Isa telah membuat satu perjumpaan dan hasilnya, satu persetujuan dicapai sebulat suara untuk menubuhkan satu jawatankuasa yang dikenali dengan nama Jawatankuasa Barang Lama dan Sejarah Peringkat Negeri. Jawatankuasa ini dipengerusikan oleh Y.B. Dato’ Setiausaha Kerajaan Negeri, manakala Allahyarham Dato’ Setia Jasa ( Dato’ Haji Mohd Saleh Bin Haji Awang ) berperanan sebagai Setiausaha. Serentak dengan itu, satu peruntukan telah diwujudkan di bawah kelolaan Jabatan Setiausaha Kerajaan Negeri untuk membeli barang dan koleksi warisan sejarah serta budaya negeri Terengganu. Kerja-kerja pengumpulan barang dan koleksi mula digiatkan mulai Julai 1960 dan ianya telah ditempatkan di dalam almari di satu sudut khas Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Terengganu, Jalan Cherung Lanjut, Kuala Terengganu.

Perkembangan yang positif ini telah mengorak langkah yang lebih luas lagi dan hasrat untuk mempunyai Muzium sendiri semakin mendapat perhatian dan sokongan Kerajaan Negeri . Pada 3 Febuari 1974, sebuah jawatankuasa untuk menguruskan hal ehwal yang berkaitan dengan penubuhan Muzium Negeri telah dibentuk. Jawatankuasa ini telah dipengerusikan oleh Y.B. Dato’ Wira Jaya, Dato’ Setiausaha Kerajaan Negeri Terengganu pada waktu itu. Dengan pembentukan jawatankuasa ini, hasrat untuk menubuhkan Muzium Negeri mula menampakkan bibit-bibit kejayaan khususnya apabila termaktubnya Enakmen Lembaga Muzium Negeri Terengganu ( Enakmen Bil 9/ 1976 ).

Pentadbiran Muzium Negeri terletak di bawah kuasa Bahagian Pentadbiran, Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Terengganu. Pada tahun 1979, kerja-kerja pengumpulan dan perolehan barang-barang lama dan bersejarah diteruskan dengan lebih giat. Operasi dan fungsi muzium terus diperluaskan. Pada waktu itu, dua orang tokoh yang memainkan peranan yang penting di dalam mengemudikan perkembangan dan kemajuan Muzium Negeri ialah Allahyarham Dato’ Setia Jasa ( Dato’ Hj. Mohd Saleh Bin Awang ) dan Tuan Haji Othman Bin Haji Ali. Kerja-kerja penyelidikan, galicari dan pemuliharaan bangunan lama yang bersejarah telahpun dimulakan.

Era tahun 1980 an telah meningkatkan lagi perkembangan Muzium Negeri. Pada tahun 1981, seorang kurator telah dilantik untuk menerajui Muzium Negeri. Manakala menjelang tahun 1985, jawatan ini telah ditingkatkan kepada jawatan Pengarah.

Pada bulan April 1994, sekali lagi berlaku perubahan yang menarik di dalam sejarah Muzium Negeri. Ini kerana segala urusan pentadbiran, pengurusan dan pameran telah berpindah ke ‘ rumah baru ‘, iaitu Kompleks Muzium Negeri Terengganu yang terletak di kawasan seluas 27 hektar di Kg. Bukit Losong, Paloh, Kuala Terengganu.

KTCC

Kuala Terengganu City Centre

Kuala Terengganu

Kuala Terengganu ialah ibu negeri dan juga bandar diraja negeri Terengganu Darul Iman, Malaysia. Ia terletak 500 kilometer di timur laut Kuala Lumpur dan mengadap Laut China Selatan. Kuala Terengganu telah diiktiraf sebagai Bandaraya Warisan Pesisir Air dan menjadi bandar raya pada 1 Januari 2008. Bandar raya ini mempunyai jumlah penduduk seramai 406,317[1] pada tahun 2010. Namanya bererti muara Sungai Terengganu. Kuala Terengganu merupakan antara bandar pelancongan popular dan hotelnya mencatatkan kadar penginapan yang tinggi sepanjang tahun.

Di pesisir Kuala Terengganu, terdapat sederet rumah kedai yang dikenali sebagai Kampung Cina (China Town) yang telah wujud semenjak sekian lama. Ia merupakan perkampungan pedagang Cina yang berdagang antara China dan Semenanjung Tanah Melayu yang bermula semenjak awal abad ke 15.

Kewujudan Kampung Cina adalah bukti wujudnya hubungan perdagangan erat antara kerajaan China dan Kerajaan Terengganu. Pelayar terkenal, Abdullah Munsyi yang singgah ke Kuala Terengganu pada abad ke-19 mencatatkan, kaum Cina pada zaman tersebut berkomunikasi sepenuhnya dalam bahasa Melayu Terengganu.

Kuala Terengganu adalah satu bandar raya perdagangan maritim yang penting pada zaman purba. Rekod awal menyatakan Kuala Terengganu pernah memiliki hubungan perdagangan antarabangsa dengan China. Rekod menyatakan Kuala Terengganu adalah antara kota persinggahan utusan kerajaan Ming China, Laksamana Zheng He diantara tahun 1405 dan 1433.

Kuala Terengganu berkembang menjadi bandar perdagangan yang penting antara kedua negara. Bagaimanapun, selepas Empayar Melaka menakluk bandar ini, pengaruhnya sebagai pelabuhan terutama di kawasan Asia Tenggara merosot kerana kebanyakan pedagang lebih gemar berhenti di Melaka, yang merupakan pusat perdagangan antara China, India dan Asia Tenggara.