Wednesday, 13 November 2013

Terengganu meraih kemenangan peringkat ketiga perlumbaan berbasikal Jelajah Borneo 2013

KOTA KINABALU - Selepas dua peringkat gagal melakukannya, pakar pecut negara Mohd Hariff Salleh akhirnya meraih kemenangan pada peringkat ketiga perlumbaan berbasikal Jelajah Borneo 2013 hari ini. Pelumba berusia 24 tahun daripada pasukan Terengganu Cycling Team (TSG) ini memberikan sepenuh tenaga untuk meloloskan diri dalam pemecutan kelompok besar ke garisan penamat. Beliau menamatkan saingan peringkat ketiga dari Penampang ke Kota Kinabalu sejauh 132.6km dengan mencatat masa 3 jam, 20 minit dan 39 saat. Sementara pelumba Synergy Baku Cycling Team, Anuar Manan dan abang kepada Mohd Hariff iaitu Mohd Zambri yang juga mewakili TSG, masing-masing meraih tempat kedua dan ketiga dengan catatan masa yang sama. "Saya amat gembira dengan kejayaan ini kerana hari ini memang saya sasar untuk mendapatkan kemenangan podium dengan persediaan yang tidaklah begitu baik memandangkan baru sahaja lepas puasa dan hari raya. "Jadi persiapan untuk Jelajah Borneo ini tidaklah begitu baik.

Perlumbaan di sini pun banyak melalui kawasan berbukit. Untuk peringkat pertama dan kedua lepas, saya buat macam sedang membuat latihan untuk saya membina kekuatan untuk menghadapi peringkat-peringkat perlumbaan yang berikutnya," kata Mohd Hariff. Beliau berkata beliau agak kecewa kerana tidak dapat melakukan yang terbaik semalam (peringkat kedua) selepas basikalnya mengalami kerosakan gear elektronik. "Akibat daripada itu, saya terpaksa menggunakan basikal gantian yang agak tidak selesa. Hari ini saya dapat menggunakan balik basikal saya, jadi saya rasa agak serasi," katanya. Sementara itu henjutan bertenaga di garisan penamat membolehkan Anuar Manan berada selesa untuk terus memakai jersi hijau selaku Raja Pecut setakat ini dengan 44 mata. Mengekori di belakang beliau ialah pelumba Iran, Mehdi Sohrabi daripada Tabriz Petrochemical Team dan pelumba Australia, Paul Van Der Ploeg daripada Team Corbusier, masing masing memperoleh 28 dan 27 mata. "Dengan tahap kecergasan yang hanya 50-50, saya gembira sebab berjaya mendapat tempat kedua dan menaiki podium hari ini.

Namun untuk peringkat esok, saya hanya akan biarkan pakar pendakian yang bekerja dan saya akan cuba untuk mendapatkan kemenangan peringkat pada peringkat terakhir. "Untuk perlumbaan hari ini, TSG mempunyai kelebihan apabila seorang pelumba mereka berada bersama-sama Mehdi dihadapan. Jika saya terlewat membuat percaturan, peringkat ini akan dimenangi salah seorang pelumba TSG ataupun Mehdi," kata Anuar Manan. Sementara itu, Mehdi terus mengekalkan jersi kuning selaku pendahulu keseluruhan dan jersi biru selaku pelumba terbaik Asia dengan mengumpul 10:44:27s selepas menamatkan tiga peringkat. Bagaimanapun, pemilik jersi merah (Raja Bukit) bertukar tangan dan kali ini menjadi milik pelumba Indonesia, Endra Wijaya daripada pasukan Customs Cycling Club. Selepas saingan hari ini, hanya 98 daripada 101 pelumba akan meneruskan cabaran peringkat keempat selepas tiga lagi pelumba tidak dapat menamatkan saingan (DNF). Peringkat keempat esok dari Kota Kinabalu ke Kudasang sejauh 147.1km memberi peluang kepada pakar pendakian mempamerkan kekuatan mereka menakluki Banjaran Crocker, yang melibatkan dua zon pendakian kategori satu di Gunung Emas dan Kundasang. - Bernama Sumber : Sinar Harian

No comments:

Post a Comment